Banyak pihak yang berperanan dalam mengantarakan Bahasa Melayu. Jelaskan pendapat anda tentang usaha-usaha untuk mengantarakan Bahasa Melayu.
_________________________________________________________
Sebagai
rakyat Malaysia, kita haruslah ingat bahawa orang lain, iaitu bangsa
lain tidak akan menyebarkan bahasa Melayu ke seantero dunia, kecuali
kita. Sebagai rakyat Malaysia, kita hendaklah mempunyai iltizam
untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa terpenting
pada suatu hari nanti. Oleh itu, langkah yang pertama ialah kita
perlulah memastikan bahawa bahasa Melayu mestilah diterima di tanah air
sendiri. Jika bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan juga bahasa
rasmi di negara kita ditolak oleh sebilangan besar rakyat di negara
kita, bagaimanakah penduduk dunia mahu menerima bahasa Melayu sebagai
bahasa kedua mereka? Oleh hal yang demikian, kita mestilah menyokong
segala usaha yang bertujuan meningkatkan atau memartabatkan bahasa
Melayu di negara sendiri.
Selain itu, kita juga hendaklah mengantarabangsakan bahasa Melayu melalui peranan kita sebagai duta kecil
ketika berada di luar negara. Sama ada kita sebagai pelajar, pelancong,
atau pekerja, kita mestilah sentiasa berusaha untuk menyebarluaskan
bahasa Melayu dengan pelbagai cara. Ketika berada di luar negara, apalah
salahnya jika kita mengajar rakan kita dari negara lain untuk
mempelajari bahasa Melayu. Untuk menarik perhatian mereka, kita juga
mestilah bersedia untuk mempelajari bahasa mereka. Jika kita bersedia
untuk mempelajari bahasa mereka, mereka juga pasti bersedia untuk
mempelajari bahasa kita.
Seterusnya, kita hendaklah mengantarabangsakan bahasa Melayu melalui pejabat kedutaan
negara kita di luar negara. Di seluruh dunia, terdapat 104 buah
kedutaan Malaysia yang mampu memainkan peranannya untuk menyebarluaskan
bahasa Melayu. Melalui kedutaan tersebut, kita hendaklah mengetengahkan
bahasa Melayu di negara-negara asing dalam pelbagai acara atau majlis.
Melalui usaha ini, bahasa Melayu akan lebih dikenali, dipelajari,
dihayati dan seterusnya dihormati oleh warga dunia. Pepatah Melayu
mengatakan,"tak kenal maka tak cinta". Sebagai rakyat yang mempunyai semangat `bahasa jiwa bangsa’, kita hendaklah mempunyai iltizam atau kesungguhan untuk mempromosikan bahasa Melayu walau di mana-mana jua kita berada.
Dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi ini pula, rakyat Malaysia mestilah memanfaatkan penggunaan Internet.
Mereka yang pakar dalam bidang ini seperti ahli akademik, pakar bahasa
dan sebagainya hendaklah menyebarluaskan bahasa Melayu melalui laman web
atau blog bagi membolehkan masyarakat dunia untuk mendekati dan
mempelajari bahasa Melayu. Dalam era globalisasi ini, kebanyakan
masyarakat di duni mencari dan memperoleh maklumat melalui Internet.
Oleh itu, kita mesti;ah mengambil kesempatan ini untuk mempromosikan
bahasa Melayu. Oleh sebab Internet merupakan medium yang paling murah,
mudah dan cepat untuk menyebarkan maklumat, kita mestilah
mengeksploitasikan kelebihan ini untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu
ke seantero dunia.
Bukan itu sahaja, kita juga hendaklah mengantarabangsakan bahasa Melayu melalui filem.
Jika penerbit filem di negara kita mampu menghasilkan filem yang
bermutu, sudah pasti masyarakat antarabangsa akan menerima filem kita.
Apabila mereka menerima filem kita, hal ini akan memberikan peluang
kepada mereka untuk mendalami dan mempelajari bahasa dan budaya Melayu.
Namun, masalah yang kita hadapi ialah penerbit filem negara kita masih
belum mampu menghasilkan filem yang bertaraf antarabangsa seperti filem
yang dihasilkan oleh negara Hongkong, Jepun, Korea , Bollywood, dan
sebagainya Jadi, jika kita mahu menggunakan filem sebagai satu cara
untuk menyebarluaskan bahasa Melayu, kita mestilah memartabatkan dan
mengantarabangsakan filem Melayu juga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan