Ibubapa berperanan dalam memmberikan sokongan dan dorongan kepada aak-anak demi memastika kecemerlangan akademik anak-anak.Apakah peranan ibubapa?
_________________________
Keluarga boleh ditakrifkan sebagai kaum kerabat
atau sanak saudara yang saling mengasihi, mencintai dan bersifat belas
kasihan terhadap saudaranya yang lain. Tambahan pula, keluarga merupakan
aset terpenting dalam kehidupan setiap insan. Seseorang yang tidak
mempunyai keluarga, iaitu hidup sebatang kara, tidak mempunyai tempat
bergantung untuk menumpang kasih serta hidup bagaikan layang-layang
terputus tali. Pada tahun 2003, Malaysia pernah digemparkan dengan
keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Nur Amalina yang
amat membanggakan. Hal ini kerana beliau berjaya mendapat 17A1 sekali
gus menjadikan beliau pelajar cemerlang SPM 2003. Kejayaan ini
adalah kerana Nur Amalina mempunyai sebuah keluarga yang penyayang dan
sanggup memberikan sepenuh sokongan dan dorongan dalam bidang akademik
beliau. Jelaslah bahawa faktor kejayaan anak-anak dalam bidang akademik
banyak bergantung kepada dorongan dan sokongan daripada keluarga.
Terdapat pelbagai jenis sokongan dan dorongan yang boleh diberikan oleh
keluarga untuk memastikan kecemerlangan anak-anak kerana keluarga
bahagia pemangkin kecemerlangan anak-anak.
Antara peranan daripada keluarga ialah kepimpinan melalui teladan.
Anak-anak akan lebih terdorong untuk mengikut jejak langkah kejayaan
ibu bapa mereka kerana ibu bapa lebih mengenali dan rapat dengan
anak-anak . Ibu bapa yang berjaya akan menjadi idola dan inspirasi untuk
kecemerlangan anak-anak. Tambahan pula, kejayaan ibu bapa akan
menyebabkan anak-anak cuba mememotivasikan diri mereka sekali gus
merubah kehidupan mereka agar berjaya atau lebih berjaya daripada ibu
bapa mereka. Dalam era globalisasi ini, kebanyakan ibu bapa yang berjaya
mempunyai anak-anak yang berpotensi untuk berjaya seperti mereka.
Buktinya, kajian statistik oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat
mendapati hampir 50 peratus rakyat Malaysia terlibat dengan gejala
negatif lazimnya mempunyai konflik keluarga. Oleh itu, benarlah
bahawa kepimpinan melalui teladan merupakan dorongan yang boleh
diberikan oleh keluarga untuk kecemerlangan anak-anak.
Malah, pada realitinya, ibu bapa sanggup memerah keringat, membanting tulang dan bekerja keras
dengan tulang empat kerat mereka agar memperoleh pendapatan yang
lumayan dan mewah. Hal ini kerana ibu bapa mahu memberikan kemudahan dan
keselesaan yang secukupnya kepada anak-anak bagai menatang minyak yang penuh.
Semua ibu bapa menginginkan kejayaan daripada anak-anak supaya
anak-anak mempunyai masa depan yang cerah. Mereka tidak mahu anak-anak
mereka hidup susah.Sebagai contoh, ibu bapa yang tidak berkemampuan
terpaksa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang
semata-mata untuk membiayai persekolahan anak-anak mereka. Dalam era
modenisasi ini, pendidikan semakin memerlukan kos yang tinggi. Hal ini
menyebabkan ibu bapa terpaksa bekerja dengan lebih kuat dan lebih masa
untuk menampung kos pendidikan anak-anak mereka. Buktinya, mantan
Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga pernah menyatakan bahawa wang
ringgit bukanlah pengganti kasih sayang malah semua ibu bapa sanggup
mengorbankan apa-apa sahaja untuk kebahagiaan cahaya mata mereka.
Kenyataan ini membuktikan bahawa ibu bapa rela berkorban demi anak-anak
mereka sekali pun terpaksa bergadai nyawa. Sudah terang lagi bersuluh
bahawa pengorbanan ibu bapa menjadi dorongan untuk anak-anak cemerlang
dalam bidang pelajaran.
Dorongan lain yang boleh diberikan oleh keluarga adalah dengan memberikan anak-anak didikan agama
yang sempurna. Hal ini kerana anak-anak yang mempunyai didikan agama
yang sempurna akan terang hati dan lebih mudah untuk menerima pelajaran.
Mereka akan mempunyai prinsip hidup yang teguh, sekali gus menyebabkan
mereka tidak mudah terpengaruh oleh gejala negatif yang semakin
berleluasa seperti kudis dalam masyarakat marcapada ini. Kejayaan Nadia Amira yang cemerlang dalam SPM 2006 menunjukkan bahawa pelajar yang mempunyai didikan agama yang sempurna mampu meraih kejayaan. Albert Einstein pernah mengatakan bahawa agama tanpa ilmu adalah buta, manakala ilmu tanpa agama adalah lumpuh.
Oleh itu, jelaslah bahawa didikan agama yang sempurna merupakan salah
satu dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga demi kecemerlangan
anak-anak dalam bidang akademik.
Sebagai
intiha, dorongan daripada keluarga merupakan faktor terpenting kejayaan
anak-anak. Rentetan itu, ibu bapa serta ahli keluarga yang lain
wajarlah bersatu padu bagai aur dengan tebing dan sama-sama berusaha seperti hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
untuk merealisasikan impian murni mereka. Dorongan keluarga dapat
melahirkan anak-anak yang cemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang
dilaungkan mantan Perdana Menteri kita yang lebih dikenali sebagai "Pak
Lah". Marilah kita buktikan kepada dunia bahawa pemikiran rakyat
Malaysia tercinta ini tidak lagi dibelenggu atau tidak lagi umpama katak di bawah tempurung, malah telah bertamadun dalam menuju era globalisasi untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara lain untuk negara maju yang lain di seluruh sarwajagat ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan