Internet merupakan saluran ilmu pengetahuan kepada semua pengguna.
Kini, pelbagai pengetahuan terkini dapat disalurkan melalui internet.
Internet merupakan khazanah ilmu yang membantu berjuta-juta pelajar
untuk mendapatkan maklumat dalam proses pembelajaran dan penyelidikan.
Tugas guru juga dipermudah melalui penggunaan internet yang membekalkan
pelbagai ilmu terkini dan mudah. Perkembangan sains dan teknologi serta
ilmu canggih dipaparkan dalam internet. Ia juga membantu dalam proses
penyelidikan dan pembangunan.
Selain itu, internet merupakan saluran komunikasi antarabangsa.
Teleperubatan dimungkinkan dengan adanya internet. Pakar-pakar
perubatan dapat berkomunikasi dan berinteraksi dengan adanya internet.
Pelbagai pembedahan dan diagnosis dimungkinkan melalui internet.
Komunikasi dalam aspek ekonomi dan politik pula dapat dimungkinkan
dengan telekonferens. Ini memudahkan sesuatu urusan komunikasi dalam
usaha membuat keputusan tanpa pergi ke sesuatu tempat. Di samping itu,
pendidikan jarak jauh juga dapat dijalankan dengan adanya kemudahan
internet. Internet ini memberi faedah kepada pelbagai lapisan masyarakat
untuk melanjutkan pengajian mereka tanpa menjejakkan kaki ke menara
gading.
Internet
juga memudahkan urusan harian manusia di mana pembayaran bil elektrik,
air, kad kredit dan bil-bil lain dapat dilakukan dengan mudah.
Hubungan dengan agensi-agensi kerajaan dan badan-badan pendidikan
antarabangsa untuk memohon kemasukan ke kursus pengajian atau peluang
kerja dapat dibuat melalui internet. Urusan menerusi internet bukan
sahaja menjimatkan masa, tetapi juga dapat memastikan kesesakan lalu
lintas dan tekanan kerja dapat diuruskan dengan mudah.
Walau bagaimanapun, internet juga memudaratkan manusia jika disalahgunakan. Kemudahan ini boleh digunakan untuk menceroboh dan mengganggu seperti `hacking’ yang kini banyak berlaku. Laman-laman
web kerajaan mudah diceroboh untuk tujuan mengganggu. Keselamatan
negara juga sukar dikawal kerana segalanya dihubungkan melalui rangkaian
antarabangsa. Beberapa tahun kebelakangan inn, pusat keselamatan negara
Amerika Syarikat, Pentagon diceroboh oleh seorang kanak-kanak berusia
dua belas tahun. Ini memudaratkan aspek keselamatan negara dan dunia.
Selain itu, virus komputer yang menjadi bahan bualan sejak kebelakangan ini juga disebarkan melalui internet.
Kini, banyak virus komputer yang dicipta boleh mengakibatkan data-data
dalam komputer hilang dan ada juga virus yang mengakibatkan kerosakan
komputer. Ini akan mengakibatkan sesebuah syarikat atau agensi kerajaan
lumpuh kerana sistem dan data-data mereka terganggu. Aspek kesihatan juga dikaitkan dengan penggunaan internet.
Seseorang yang menggunakan komputer akan duduk di hadapan skrin
komputer untuk tempoh masa yang lama. Ini akan membawa masalah kesihatan
seperti penyakit mata, sakit tulang belakang dan sebagainya.
Kesimpulannya, internet mempunyai banyak kebaikan dan keburukan. Para pengguna perlu memahami kegunaan internet dan memastikan is digunakan untuk kebaikan sahaja. Kawalan dan pengawasan ibu bapa dan guru adalah penting agar generasi muda memanfaatkan internet demi melahirkan masyarakat berilmu di negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan