Sabtu, 25 Mei 2013

Usaha-usaha Untuk Mengatasi Masalah Banjir

Baru-baru ini beberapa kawasan di negara kita telah dilanda banjir kilat. Hal ini telahmenimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk di kawasan tersebut.Berikan cadangan anda tentang usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk mengatasibanjir kilat.  
______________________________________________________
       Sejak belakangan ini, beberapa kawasan di negara kita sering dilanda banjir kilat. Kalau dahulu banjir hanya berlaku di kawasan rendah yang berhampiran dengan sungai atau di kawasan persisiran pantai tetapi kini banjir kilat mula menjengah bandarbandar besar. Seperti yang dilaporkan oleh media tempatan, antara kawasan yang sering dilanda banjir kilat ialah kawasan sekitar Lembah Klang, dan yang terbaru di bandar raya Shah Alam. Satu hakikat yang perlu diterima adalah banjir kilat mengundang penderitaan dan kepayahan yang bukan sedikit kepada penduduk yang terlibat. Justeru, usaha-usaha wajar dilakukan agar fenomena banjir kilat ini tidak berterusan.       
       Proses urbanisasi berlaku dengan pantas. Hutan diteroka dan bukit digondolkan untuk dijadikan sebagai tapak pembangunan. Kawasan perumahan dan kilang-kilang tumbuh bagai “cendawan tumbuh selepas hujan”. Walau bagaimanapun, pihak pemaju seakan-akan alpa untuk menyediakan sistem perparitan yang sempurna. Oleh itu, pihak berkuasa wajar menyediakan peraturan yang lebih ketat dan pemantauan yang lebih kerap apabila sesuatu kawasan itu hendak dibangunkan. Pastikan pihak pemaju menyediakan sistem perparitan yang memenuhi piawaian yang ditetapkan. Dengan adanya sistem perparitan yang baik, air dapat mengalir dengan lancar ke sungai-sungai dan seterusnya ke laut. Pemaju yang tidak mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan hendaklah diambil tindakan undang-undang. Sesungguhnya, mencegah lebih baik daripada mengatasi.       
       Selain itu, terdapat sesetengah kilang dan ladang ternakan sengaja dibina berhampiran dengan sungai. Tujuannya adalah untuk memudahkan mereka membuang sisa buangan termasuk sisa toksik ke sungai. Hasil buangan tersebut bukan sahaja mencemarkan sungai malah mendapan sisa tersebut akan menyebabkan sungai menjadi cetek. Akibatnya, air sungai akan melimpah setiap kali hujan lebat yang turun tanpa henti untuk tempoh yang lama. Oleh yang demikian, pihak pengusaha kilang dan penternak yang terbabit perlu lebih bertanggungjawab. Sikap mementingkan keuntungan dan kesenangan diri harus dikikis. Mereka sepatutnya membuang sisa kilang dan sampah sarap di tempat pelupusan yang ditetapkan, bukannya disalirkan ke sungai. Sekiranya sikap tidak bertanggungjawab ini masih berterusan, tindakan menamatkan operasi kilang atau ladang ternakan tersebut hendaklah diambil. Pembangunan di kawasan tanah tinggi kerap kali menjadi punca berlakunya pemendapan di dasar sungai yang menyebabkan sungai menjadi cetek. Pihak Jabatan Pengairan dan Saliran seharusnya peka dengan kejadian seperti ini. Sebaik sahaja gejala ini dikesan, tindakan mendalamkan semula sungai wajar dilakukan, janganlah sudah terhantuk baru mengadah. Dalam masa yang sama, sampah sarap yang menghalang pengaliran air juga hendaklah dibersihkan. Di samping itu, akta yang menghalang pembangunan di kawasan bukit yang berhampiran dengan tempat kediaman hendaklah dikuatkuasakan. Jika tidak, penduduk-penduduk yang tinggal di kaki bukit terutamanya yang berhampiran dengan sungai akan terdedah kepada banjir kilat.       
       Sebaik sahaja banjir kilat berlaku di Shah Alam, beberapa cadangan telah dikemukakan untuk mengatasi banjir kilat. Antara cadangan yang dikemukakan adalah dengan membina benteng atau tebatan banjir. Pembinaan benteng dan tebatan banjir akan menghalang air sungai daripada melimpahi kawasan sekitarnya. Pendudukpenduduk di kawasan rendah juga akan dipindahkan manakala jalan raya yang kerap dilanda banjir kilat akan dinaiktarafkan. Kerajaan Selangor melalui Menteri Besarnya Dato’ Seri Mohamad Khir b. Toyo telah memohon peruntukan kepada kerajaan pusat untuk melaksanakan cadangan tersebut. Walaupun kos melaksanakan cadangan itu menelan belanja jutaan ringgit namun atas nama kemanusiaan, setinggi mana pun kosnya cadangan tersebut perlu dilaksanakan segera untuk mengelakkan berlakunya tragedi kemanusiaan yang lebih dahsyat.     
       Sistem amaran banjir kilat juga perlu disediakan. Sebagaimana tsunami, banjir kilat juga boleh mengancam nyawa manusia selain merosakkan harta benda serta memusnahkan dokumen penting yang lain. Sistem amaran banjir ini boleh dipasang di tempat-tempat atau kawasan yang berpotensi untuk dilanda banjir kilat. Alat penggera tersebut akan mengeluarkan isyarat apabila paras air menghampiri indeks yang ditetapkan. Dengan adanya sistem amaran tersebut, penduduk boleh mengambil tindakan segera untuk menyelamatkan nyawa serta barang berharga.     
       Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa menangani banjir kilat bukanlah satu kerja yang mudah, tidak semudah yang dijangkakan. Namun, komitmen dan penggemblengan tenaga semua pihak dalam melaksanakan usahausaha seperti yang dinyatakan di atas penting untuk menangani masalah banjir kilat. Kita berharap dengan adanya bantuan segera yang diberikan, keresahan penduduk yang menjelma akibat berlakunya banjir kilat akan dapat dihapuskan. Tegasnya, masalah banjir kilat ini perlu diatasi segera agar hasrat mewujudkan negara maju menjelang 2020 dapat direalisasikan.

2 ulasan: